SELANGOR FC
BERITA

Previu Perlawanan Akhir Piala FA | Johor Darul Ta'zim vs Selangor FC | Pentas Perlawanan Telah Bersedia Untuk Malam Ini

Aug 23, 2024 - FAS

Perlawanan Akhir Piala FA 2024/25 bakal menyaksikan pasukan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim FC di Stadium Nasional Bukit Jalil jam 9 malam ini.

Selangor FC berjaya mara ke Perlawanan Akhir Piala FA 2024/25 setelah berjaya meraih keputusan 6-4 secara agregat menentang Terengganu FC pada 3 Ogos yang lalu. Baca lebih lanjut reviu perlawanan di sini.

Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, menyatakan mara ke perlawanan Akhir Piala FA ini menunjukkan kesungguhan pasukan dan beliau mahu bersama-sama mencapai cita-cita semua pihak.

“Alhamdulillah, kita bakal menghadapi perlawanan Akhir Piala FA pada hari esok. Antara elemen yang menjadi kekuatan pasukan ini adalah sikap yang dipamerkan oleh para pemain. Perjalanan kami dari Pusingan 16 sehingga ke Separuh Akhir tempoh hari, bukanlah satu laluan yang mudah. Ada perlawanan kita kalah kemudian bangkit semula dalam pusingan kedua dan ada juga perlawanan yang kita beraksi dengan hanya sembilan pemain. Saya yakin berada di pentas akhir ini menunjukkan kesungguhan pasukan Selangor, bukan sahaja pemain tetapi pihak pengurusan dan penyokong bahawa kita ada cita-cita untuk menjadi lebih baik,”

“Secara jujurnya, saya merasakan apabila berada di pentas akhir, mana-mana pasukan mempunyai purata kemenangan yang sama, hanya beberapa langkah sahaja memisahkan kita untuk menjulang piala. Kita nak kejar kejayaan itu bagi memberi kegembiraan kepada keluarga Merah Kuning. Dalam masa yang sama, kita mempunyai kapten dan barisan pemain yang cukup baik, jadi saya percaya mereka akan berhabis-habisan untuk kelab ini,” jelas Nidzam Jamil, ketua jurulatih muda yang berjaya membawa pasukan Selangor ke pentas Akhir Piala FA 2024/25.

Dari segi keberadaan pemain, pasukan Selangor FC masih kehilangan kekuatan pemain  tengah muda, Mukhairi Ajmal yang masih menjalani sesi pemulihan daripada kecederaan 'hamstring' yang dialami dalam perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC.

Selangor FC mendoakan kejayaan pasukan untuk perlawanan Akhir Piala FA pada hari esok. Kami sentiasa berada di belakang pasukan tidak kira yang mendatang. Ayuh, Gergasi Merah!

Demi Kebanggaan!